ALOR
SETAR 15 Jun – Kerajaan Negeri sudah mengemukakan cadangan pembinaan
lapangan terbang antarabangsa baru di Kulim kepada Kerajaan Persekutuan
dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini dan negeri-negeri
di utara tanah air.
Menteri
Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, cadangan
pembinaan lapangan terbang tersebut yang bakal beroperasi untuk kargo
dan penumpang telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri
Mohd Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini.
Katanya,
lokasi lapangan terbang tersebut dikenal pasti berdekatan dengan Taman
Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) membabitkan tanah seluas 600 hektar.
“Kerajaan
Negeri melihat bahawa permintaan pengangkutan udara ini semakin
meningkat kerana kemudahan lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang
akan menjadi semakin terhad pada masa depan kerana keperluan kargo dan
penumpang yang bertambah.
“Kita tahu bahawa Pulau Pinang mempunyai bidang tanah yang agak terhad, jadi lapangan terbang itu tidak boleh dibesarkan lagi.
“Tawaran
Kedah kepada Kerajaan Persekutuan adalah tanah yang luas dan mampu
menampung dua landasan lapangan terbang bertujuan untuk operasi kargo
dan penumpang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program
Peningkatan Kerjaya dan Sukan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Kedah,
Johor, Kelantan dan Terengganu Kali Ke-14 di Dewan Seri Negeri, Wisma
Darul Aman, di sini.
Kedah
kini mempunyai dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul
Halim (LTSAH) di sini dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Menteri
Besar berkata, Kerajaan Negeri juga yakin projek tersebut akan menjadi
pencetus kepada pertumbuhan ekonomi di zon utara bukan sahaja
membabitkan negeri ini, malah sektor industri di Selatan Thailand.
“Cadangan
tersebut masih dalam peringkat awal. Saya telah menulis surat kepada
Perdana Menteri mengenainya dan selepas ini, kita akan berbincang dengan
Kerajaan Persekutuan termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian
Pengangkutan.
“Kawasan
yang dikenal pasti adalah melibatkan Kulim yang bersempadan dengan
Sungai Petani. Ini bukan hanya mampu merancakkan ekonomi Kedah, malah
juga negeri lain termasuk Pulau Pinang,” ujarnya.
Sumber:UMTK