Kedah Mengorak Langkah Ke Arah Pembangunan Yang Lebih Terancang

15kdh

ALOR SETAR 15 Jun – Negeri Kedah kini sedang mengorak langkah ke arah pembangunan yang lebih terancang dengan menumpukan kepada beberapa bidang utama yang boleh melonjakkan ekonomi negeri sepertimana negeri-negeri lain.

Menurut Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, di dalam melaksanakan dasar-dasar baru bagi Kerajaan Negeri melalui Pelan Transformasi Negeri Kedah, dasar-dasar sedia ada dari Kerajaan pemerintahan terdahulu masih lagi diteruskan, di samping memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

“Setelah setahun kepimpinan sekarang dalam mentadbir Negeri Kedah Darul Aman, pembangunan dan pentadbiran negeri telah dilaksanakan dengan sokongan dan dokongan setiap penjawat awam negeri.

“Dengan slogan ‘Kedah Aman Makmur, Bersama Memacu Transformasi’, slogan ini cuba diterjemahkan melalui Program Transformasi yang sedang dan telah dilaksanakan. Program ini melibatkan jabatan dan agensi negeri serta dipantau rapi oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi memastikan perancangan Kerajaan Negeri dapat direalisasikan bagi memenuhi hasrat rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Peningkatan Kerjaya dan Sukan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu Kali Ke-14 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini.

Menteri Besar menjelaskan, beliau bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan pentadbiran negeri turut membuat lawatan kerja serta kunjung hormat ke Negeri Melaka dan Johor bagi tujuan bertukar-tukar pandangan di samping mengeratkan hubungan sedia ada serta mencari peluang pelaburan dan mempelajari selok-belok pentadbiran negeri berkenaan.

“Kunjungan tersebut tidak akan terhenti di situ sahaja dan mungkin kita akan berkunjung ke Negeri Kelantan Darul Naim dan Negeri Terengganu Darul Iman,” katanya.

Tambahnya, sepertimana yang telah digariskan di dalam perkhidmatan awam, penjawat awam merupakan agen perubahan yang mampu mengubah sikap dan minda rakyat kerana mereka sentiasa hampir dan sangat rapat dengan rakyat, terutama bagi pegawai-pegawai yang berkhidmat di daerah.

“Saya amat gembira menyaksikan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri-Negeri Tidak Bersekutu yang mempunyai sejarah pentadbiran yang paling lama di negara ini, berkumpul dan berkampung di sini untuk bersama-sama menjayakan program sukan dan forum yang dilangsungkan setiap dua tahun sekali.

“Saya berharap program seperti ini akan dapat dilaksanakan secara berterusan bagi memberi peluang dan ruang kepada pegawai-pegawai mengurangkan tekanan kerja serta bertukar-tukar pandangan. Apa yang penting, hubungan silaturahim mampu terjalin erat melalui program yang diadakan itu,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, YB. Dato’ Wira Haji Khazali Haji Din; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB. Dato’ Haji Ismail Karim; Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YB. Dato’ Haji Mohd Faudzi Haji Che Mamat dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YB. Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Sumber:UMTK