Kerajaan Negeri Kedah Peka Terhadap Permasalahan Rakyat - MUKHRIZ

9peka
SIK 9 Jun – Seramai 100,000 pemilik kebun getah dan penoreh di Kedah akan memperolehi bantuan one-off sebanyak RM500 daripada Kerajaan berikutan harga getah yang merosot sejak akhir-akhir ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan sentiasa peka dengan masalah rakyat terutamanya berkaitan dengan ekonomi dan kebajikan mereka.

“Kerajaan sentiasa memandang serius tentang masalah rakyat dan sentiasa mendengar denyutan nadi mereka terutamanya mengenai kebajikan dan permasalahannya.

“Berikutan daripada itu, Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersungguh-sungguh membantu golongan ini bagi meringankan bebanan rakyat,” katanya ketika merasmikan Fiesta Mesra Rakyat Daerah Sik anjuran Pemuda UMNO Bahagian Sik dan Dewan  Undangan Negeri (DUN) Jeneri yang diadakan di Dewan Bandar Baru Beris Jaya, di sini.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengumumkan mengenai pelan jangka pendek dan jangka panjang serta sederhana bagi membantu rakyat di negeri ini.
“Dalam cadangan pendekatan kepada Perdana Menteri itu, empat perkara telah diusulkan dan kelulusan sebanyak RM130 juta kepada pemilik kebun getah dan penoreh adalah salah satu daripadanya.

“Usul juga turut dikemukakan mengenai penoreh dan peladang yang tidak mempunyai tanah supaya turut diberikan bantuan serta kaedah bantuannya  sedang diperhalusi,” ujarnya.

Mengenai pelan jangka sederhana dan panjang, Menteri Besar berkata,  ia akan diperhalusi lagi supaya ianya lebih adil dan saksama serta yang berhak sahaja yang akan memperolehi manfaatnya.

Tambahnya, Kerajaan memberi jaminan pendapatan sekadar yang termampu dan sebaik mungkin kepada mereka yang berhak supaya nasib rakyat terus terbela dan tidak teraniaya.

Beliau menjelaskan, bantuan sebanyak RM500 akan diberikan kepada pemilik kebun getah dan penoreh secara berperingkat-peringkat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid.

Sumber:UMTK