Bantuan RM500 Legakan Penoreh, Pekebun Kecil

BALING 15 Jun - Penoreh dan pekebun kecil daerah ini melahirkan perasaan lega dan terharu dengan pengumuman kerajaan mengenai bantuan Skim Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah.

Pekebun kecil, Abu Bakar Abdullah, 62, berkata, kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat membuatkan mereka berasa tertekan.

"Harga barang semuanya naik sekarang, perbelanjaan anak-anak sekolah, harian, pembayaran bil-bil dan sebagainya membuatkan hidup kami tertekan.

"Alhamdulillah dan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan masalah dan kesusahan penoreh dan pekebun kecil seperti kami, dapatlah kami berbelanja pada bulan Ramadan nanti," kata Abu Bakar ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penoreh Getah Daerah Baling (PERGETAH), Mohd. Taufik Yaacob berkata, skim bantuan itu akan diberikan secara berperingkat dan akan berakhir sebelum perayaan Aidilfitri pada penghujung Julai ini.

"Semoga mereka dapat membelanjakan bantuan itu secara berhemah dan berjimat-cermat pada Ramadan dan ketika menyambut Aidilfitri," kata Mohd. Taufik.

Insentif sebanyak RM500 akan diberi kepada golongan tersebut yang tidak mempunyai kebun sendiri dan pekebun getah yang memiliki kebun di bawah keluasan 2.5 hektar.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Harun Abdul Aziz ketika meninjau kegiatan penoreh getah di kawasan itu berkata, pengumuman kerajaan itu akan disalurkan kepada golongan tersebut di seluruh negara.

"Langkah segera itu melibatkan peruntukan skim sebanyak RM130 juta bagi membantu pekebun kecil dan penoreh getah susulan kejatuhan harga getah di pasaran.

"Peruntukan itu juga telah membantu ramai penoreh dan pekebun kecil getah menjelang musim perayaan ini," katanya.

Sumber: Utusan