Tahu Seminggu Sebelum Wukuf

16kuota

GURUN 16 Jun – Kerajaan akan terus memohon tambahan kuota haji dari Arab Saudi untuk membolehkan lebih ramai rakyat negara ini menunaikan ibadah itu tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom berkata, antara usahanya ialah mengadakan pertemuan dan menghantar surat permohonan rasmi.

“Kuota haji ini tak ada tarikh yang ditetapkan. Sebelum ini Kerajaan Arab Saudi pernah beri kuota tambahan tetapi seminggu sebelum wukuf.

“Kita tahu jumlah jemaah yang masuk untuk tunai haji selalunya tidak tepat. Kalau ada kosong pasti Arab Saudi akan beri kepada kita,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 24 keluarga mangsa banjir di Sungai Ibor, di sini.

Menurutnya, terdapat senarai menunggu dan ini membolehkan jemaah terbabit dipilih mengerjakan haji jika kuota tambahan diluluskan walaupun pada saat akhir.
“Jemaah berumur 75 tahun ke atas akan diberi keutamaan. Sehingga bulan Mei 2014, kira-kira 1.5 juta orang mendaftar untuk mengerjakan haji dan sebahagian besarnya terdiri dari golongan muda dan kanak-kanak.

“Senarai jemaah menunggu bertambah dengan kuota yang terbatas menyebabkan jemaah terpaksa mengambil masa hampir 50 tahun sebelum tiba giliran,” ujarnya.

Beliau berkata, kerja pembangunan di Masjidil Haram yang masih berlangsung menyebabkan kuota yang ditetapkan sebelum dikurangkan 20 peratus tahun 2013.
“Sejak tahun 2009, Arab Saudi memperuntukkan sebanyak 27,900 tempat setahun kepada jemaah haji Malaysia. Pengurangan 20 peratus itu menjadikan jumlah terkini jemaah ialah seramai 22,320 orang,” katanya.

Tambahnya, Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak turut memberi jaminan akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara itu supaya kuota haji bagi Malaysia dapat ditambah pada masa akan datang.

Sumber:UMTK