Karnival Amal Hari Penyayang 2014 Jumaat, Sabtu ini

28karnivalMOHD. Shukri Hamad (dua dari kiri) menerima replika cek daripada Syed Unan Mashri Syed Abdullah bagi tajaan akhar Utusan Malaysia sempena Karnival Amal Hari Penyayang di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 28 Mei - Orang ramai di sekitar utara tanah air dijemput untuk memeriahkan Karnival Amal Hari Penyayang 2014 anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di pekarangan Stadium Darul Aman dekat sini pada Jumaat dan Sabtu ini.

Pengerusi Karnival Amal Hari Penyayang 2014, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, acara bertujuan untuk mengumpul dana bagi membiayai projek Titian Bistari yang memerlukan perbelanjaan hampir RM1.2 juta setahun.

Katanya, projek Titian Bistari itu yang dimulakan sejak 15 tahun yang lalu adalah merupakan projek tuisyen percuma yang dibiayai sepenuhnya oleh YSB bagi meningkatkan keupayaan murid-murid di kawasan pedalaman di dalam mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

"Antara yang istimewa pada karnival ini adalah terdapat acara lelongan amal barangan peribadi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah seperti jam tangan baginda, potret, meriam, keris dan lain-lain lagi pada Sabtu.
"Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan karnival ini yang juga membolehkan mereka beramal," katanya kepada pemberita di pejabat YSB di sini hari ini.

Dalam program tersebut YSB menaja akhbar Utusan Malaysia bernilai RM3,600 dan majlis penyerahan replika cek telah berlangsung dengan diserahkan oleh Syed Unan Mashri sendiri kepada Eksekutif Jualan Utusan Malaysia Cawangan Kedah,Mohd. Shukri Hamad.

Menurut Syed Unan Mashri, bertemakan berhibur sambil menderma, pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang karnival tersebut seperti larian bendang, kempen derma darah, bazar kebajikan dan kafe penyayang.

Selain itu katanya, pertandingan seni suara burung, peraduan mewarna kanak-kanak, pameran kerjaya, sukan remaja dan pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang dua hari karnival ini berlangsung.

"Golongan artis juga dijemput untuk memeriahkan karnival ini dan antara yang akan hadir ialah Tegar, Adira, Jay Jay, kumpulan Forteen dan Lan Kristal.

"Tidak ketinggalan terdapat juga hadiah menarik menanti para pengunjung yang berpeluang menyertai cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM20,000," katanya.

Sumber:Utusan