Ribut Di Pekan Serdang Dapat Perhatian Adun Bandar Baharu

7ribut

BANDAR BAHARU 7 Mei – Sebanyak  43 rumah rosak bahagian bumbung manakala kubah menara Masjid Bandar Baharu yang dalam pembinaan tumbang dalam kejadian ribut di Pekan Serdang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, antara kampung yang terbabit ialah Kampung Majidi, Kampung Tengah Baru, Kampung Batu 16, Kampung Batu 18, Kampung Cina Dalam, Kampung Leret, EE Guan, Kampung Keda Sungai Salleh, Kampung Batu Lintang dan Kampung Air Itam.

Penduduk, Ku Abdullah Ku Hashim, 50 tahun berkata, dia melalui detik mencemaskan apabila gerai buahnya ditimpa sebatang pokok menyebabkan dia bertempiaran lari.

“Saya menjerit beritahu pokok tumbang lalu terus berlari keluar menyelamatkan diri. Sebelum itu, saya di dalam kedai dan terdengar dentuman kuat lalu terus meniarap apabila melihat pokok terbabit tumbang ke arah kedai kami.

“Saya merangkak di dalam timbunan sisa runtuhan menyelamatkan diri, mujurlah saya tak cedera. Ketika itu, saya bersama rakan berada di dalam kedai menjual buah-buahan. Keadaan suasana ketika itu hujan lebat serta angin kencang melanda Pekan Serdang,” katanya yang ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, YB. Norsabrina Mohd Nor.

Menurutnya, dia kemudian, merangkak keluar dari kesan runtuhan itu untuk menyelamatkan diri dan bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dan mujurlah pokok ketapang yang berusia puluhan tahun itu tidak terkena tempat mereka duduk.

Imam Masjid Al Irshad, Rohaizat Jaafar, 42 tahun berkata, rumahnya yang juga kediaman rasmi terletak berhampiran masjid berkenaan turut mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung.

Katanya, ketika kejadian itu, dia tiada di rumah kerana ada urusan di luar bersama dengan ahli keluarganya dan terkejut melihat kubah menara masjid berkenaan tumbang.

Sumber: UMTK