Penjagaan Kesihatan Diutamakan Demi Masa Depan Yang Bahagia

8kesihatan
JITRA 8 Mei – Kedah memerlukan rakyat yang sihat bagi menjamin pembangunan ekonomi negeri yang maju dan cemerlang.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong berkata, sebagai rakyat Kedah, penjagaan kesihatan perlu diutamakan bagi menjamin masa depan yang bahagia.

“Gaya hidup yang tidak sihat yang perlu ditangani adalah hidup yang kurang aktif, amalan pemakanan yang tidak sihat dan tabiat merokok. Gaya hidup yang tidak sihat inilah yang menjadi ancaman utama kepada kesihatan rakyat pada masa ini,” katanya pada majlis pelancaran Komuniti Sihat, Perkasa Negara Peringkat Kebangsaan di Dewan Sekolah Kebangsaan Dato’ Syed Ahmad, Lana Bulu, Ayer Hitam, di sini.

Menurutnya, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membentuk komuniti sihat dan produktif melalui pembudayaan amalan gaya hidup sihat seiring dengan peningkatan potensi diri, pemantapan tahap sosio-ekonomi serta pembangunan yang mapan.

“Program ini diharap mampu mendekatkan dan meluaskan capaian program komuniti bagi membentuk komuniti sihat bebas dari sebarang penyakit serta mewujudkan sekumpulan sukarelawan kesihatan terlatih di kalangan ahli komuniti,” katanya.

Beliau yang mewakili Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, inisiatif itu mensasarkan penglibatan sebanyak 450 kampung pada fasa pertama dari jumlah keseluruhan 970 kampung dengan penglibatan sekurang-kurangnya lima orang sukarelawan di setiap kampung.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, YB. Dato’ Othman Aziz.

Sumber: UMTK