Penderitaan Warga Emas Mendapat Perhatian MB Kedah

22wargaemas

NERANG 22 Mei – Penderitaan yang dilalui oleh seorang wanita warga emas, Meliah Md Diah, 100 tahun yang kini menetap di Kampung Bukit Nambua, Mukim Belimbing Kanan, di sini mendapat perhatian apabila menerima kunjungan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Dalam lawatan itu, Menteri Besar turut menyampaikan kunci rumah baru kepada Meliah di samping barangan keperluan harian, wang tunai dan kad pengenalan sempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Padang Terap.

Kepayahan yang dilalui oleh Meliah dalam menjaga anak lelaki orang kurang upaya (OKU), Abdul Rahman Saud, 62 tahun sebelum ini turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Padang Terap, YB. Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid yang bertindak membina rumah baru bernilai RM20,000 dengan bantuan pihak Pejabat Daerah Padang Terap.

Sementara itu, Pegawai Daerah Padang Terap, Abdul Rahman Zainol berkata, kerja pembinaan rumah itu bermula pada awal April 2014 dan mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk siap sepenuhnya.

Katanya, rumah berkeluasan 450 kaki persegi itu mempunyai satu ruang terbuka dan satu bilik air bagi memudahkan Meliah bergerak dan menguruskan anaknya.
“Kami harap bantuan yang diberikan itu dapat meringankan beban Meliah sekeluarga untuk memulakan kehidupan baru yang lebih selesa, sekaligus menjamin keselamatan mereka kerana tidak perlu naik turun tangga seperti rumah sebelum ini,” ujarnya.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim dan Ahli Parlimen Padang Terap, YB. Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid.

Sumber: UMTK