Pelan Induk Pembangunan Tasik Pedu Sebagai Lokasi Eko-Pelancongan Di Kedah

22tasik

KUALA NERANG 22 Mei – Kerajaan Negeri akan mewujudkan Pelan Induk Pembangunan Tasik Pedu sebagai usaha menjadikan tasik itu sebagai lokasi eko-pelancongan terbaharu di Kedah.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, menerusi pelan induk itu, Tasik Pedu mampu bertukar wajah sebagai lokasi eko-pelancongan dengan membabitkan pembangunan terancang dan menyeluruh.

“Dengan adanya pelan itu, sebarang jenis pembangunan pelancongan yang bakal dibuat oleh mana-mana pihak termasuk syarikat swasta di sekitar Tasik Pedu, dapat dijalankan secara teratur dan bukannya secara tergesa-gesa.

“Daripada kita gelojoh kemudian membuat keputusan yang tidak mengoptimumkan potensi tempat itu, lebih elok kita buat pelan induk dahulu sebelum membenarkan mana-mana pihak membangunkannya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Majlis Daerah Padang Terap Sempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Padang Terap, di sini.

Tasik Pedu yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Bandaraya Alor Setar disifatkan unik kerana mempunyai kira-kira 50 spesis pokok yang tidak ada di hutan lain, selain menjadi kawasan pengumpulan haiwan liar.

Menteri Besar berkata, sehingga kini sudah banyak syarikat menunjukkan minat untuk membangunkan Tasik Pedu dan pihak berkenaan hanya menunggu lampu hijau daripada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri mahu memastikan pembangunan dijalankan tidak menjejaskan keindahan alam sekitar,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan mewujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Padang Terap bagi membantu penduduk meningkatkan pendapatan.

“Setakat ini, kita tak ada perancangan ke arah itu sebab sudah ada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) di kawasan ini. Namun, jika ia mampu meningkatkan pendapatan masyarakat kampung, kita boleh pertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan menyambung semula inisiatif bagi menyelesaikan masalah 890 petani yang terjejas akibat masalah pertindihan tanah dengan syarikat swasta, Tradewinds Malaysia Berhad.

Tambahnya, kata sepakat antara Tradewinds dan Kerajaan Negeri dicapai lima tahun lalu bagi menyelesaikan masalah itu, tetapi terbantut selepas pertukaran Kerajaan Negeri pada tahun 2008.

“Kita akan mencari jalan semula bagi menyelesaikan masalah itu serta memastikan situasi menang-menang antara petani dan Tradewinds. Kita akan teliti semua cadangan termasuk menggantikan tanah mereka di kawasan lain,” ujarnya.

Sumber:UMTK