Jamil Khir
JERAI
11 Mei - Bekas murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Limau di sini
diseru agar dapat menggembleng tenaga bersama-sama pihak sekolah untuk
memastikan sekolah tersebut yang kini berusia 100 tahun terus melahirkan
generasi cemerlang.
Ahli
Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom percaya melalui komitmen
tinggi serta bekerja secara kolektif antara guru, waris dan alumni akan
mampu menjadikan warga SK Sungai Limau insan yang berilmu serta
berakhlak mulia.
"Jutaan
tahniah saya ucapkan kepada pihak pentadbir dan guru-guru di sekolah
ini yang mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis sambutan 100 tahun
SK Sungai Limau sebagai usaha mengenang jasa semua yang pernah berada di
sekolah ini.
"Seratus
tahun merupakan satu tempoh yang cukup lama dan saya yakin
kecemerlangan sekolah ini mampu diteruskan dengan kerjasama daripada
bekas-bekas murid SK Sungai Limau yang saya pasti telah menjadi mereka
yang berjaya dalam hidup," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan 100 tahun SK Sungai Limau di sini.
Jamil
Khir yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, transformasi
pendidikan pada alaf ini jauh lebih baik namun generasi baharu tidak
boleh melupakan sejarah.
"Tanpa
orang terdahulu tidak mungkin lahirnya generasi masa kini maka kita
yang ada pada hari ini wajar untuk berterima kasih pada perjuangan warga
SK Sungai Limau yang bersusah payah mendidik anak-anak di daerah ini.
"Generasi hari ini boleh mengambil iktibar malah menjadi inspirasi untuk meraih kejayaan yang lebih berprestij," jelasnya.
Tambah
beliau, antara Alumni SK Sungai Limau yang berjaya ialah bekas Menteri
Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, Allahyarham Tan Sri
Profesor Emeritus Ismail Husein dan lain-lain lagi.
"Kejayaan
bekas-bekas murid di SK Sungai Limau ini wajar dijadikan panduan untuk
murid-murid di daerah ini untuk terus maju dalam pelajaran mereka,"
katanya.
Sumber: Utusan