50 Ibu Terima Insentif Kelahiran Anak

15kit

Mahadzir Abdul Hamid bersama sebahagian daripada ibu dan bayi yang menerima kit kelahiran anak ketika majlis Penyampaian Insentif Kelahiran Anak (IKA) di Pejabat ADUN Jeneri, Sungai Pau, Sik, Kedah, kelmarin.

SIK 16 Mei - Sebanyak 50 wanita di daerah ini menerima sumbangan Insentif Kelahiran Anak (IKA) sempena menyambut kelahiran anak mereka sumbangan kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata, kerajaan sentiasa memberikan galakan kepada ibu bapa dari segi menambah bilangan anak.

"Anak merupakan anugerah yang tidak ternilai bagi setiap ibu bapa dan perlu dijaga dengan sempurna supaya menjadi seorang insan berguna.

"Kerajaan sentiasa memberi sokongan dengan pemberian insentif khas kepada bayi-bayi yang baru lahir di samping penjagaan yang rapi sejak dari dalam kandungan lagi," kata Mahadzir ketika merasmikan majlis Penyampaian Insentif Kelahiran Anak (IKA) di pejabat ADUN Jeneri, Sungai Pau di sini semalam.

Yang turut hadir, pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sik, Nurulfazliyani Hassan.

Sementara itu Shazrina Zainal, 20, dari Kampung Cemara berkata, pemberian insentif ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan sentiasa bersama-sama dengan rakyat.

"Tidak kira dalam apa keadaan sekalipun, kerajaan sentiasa bersama rakyat terutamanya dalam hal menjaga kebajikan rakyatnya dari seawal bayi dalam kandungan sehingga warga emas dan sebagai­nya," kata Shazrina yang baru melahirkan bayi sulung.

Manakala Ahmad Sharulnizar Abidin, 34, dari Kampung Bandar Hilir pula berkata, dia amat teruja kerana dikurniakan seorang bayi perempuan.

"Amat seronok sekali kerana saya kini telah mempunyai sepasang anak dan amat bersyukur kepada Allah," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberi kit insentif kelahiran anak.

Bantuan IKA yang mengandungi keperluan khas bayi seperti botol susu, selimut dan pakaian itu diedarkan melalui hospital-hospital dan JKM daerah.

Skim tersebut yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir pada Mac lalu dijangka memanfaatkan kira-kira 35,000 bayi di seluruh negeri ini.

Sumber: Utusan