Wujudkan Taman Sakura Malaysia

6sakura
ALOR SETAR 6 April -  Kerajaan Negeri Kedah akan merancang memperhebatkan tanaman pohon hiasan jalan yang mengeluarkan bunga unik berwarna merah jambu di seluruh kawasan di negeri ini ekoran mendapat maklum balas positif rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, pohon hiasan itu mampu mengindahkan bandaraya ini.

Katanya, jawatankuasa itu akan membincangkan dengan serius untuk menambah baik keindahan Alor Setar dan mempunyai potensi untuk dikomersialkan.

“Kita akan berkempen untuk penanamannya kerana ia memang cantik apabila berbunga seperti berada di bandaraya Tokyo.

“Kita akan membawa perkara ini dalam mesyuarat bersama jawatankuasa kita untuk meletakkan syarat kepada syarikat kontraktor jalan dan bangunan supaya pohon itu di tanam dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini termasuk Sungai Petani. Ia bukan sahaja menjadi tarikan pelancong tetapi mampu menaikkan imej Alor Setar,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan akan mencari kawasan sesuai untuk membina taman yang dipenuhi pokok Tabebuia yang akan menjadi tarikan utama di negeri ini pada masa akan datang.

“Kita akan cari tanah yang sesuai. Kita yakin perkara ini akan disambut baik oleh barisan pimpinan negeri dan rakyat negeri ini,” katanya.

Sumber:UMTK