Papan Iklan Haram Bakal Dirobohkan

mbaspapaniklan
Mat Noh (kanan) turut melancarkan Tabung Bencana Banjir Pantai Timur 2013 di perkarangan Pejabat MBAS, semalam.

ALOR SETAR 13 Disember - Mana-mana papan iklan didapati tidak mempunyai permit, manakala paparan visual yang masih tidak memiliki lesen sehingga 1 Januari 2014 akan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) meminta kedua-kedua jenis pemilik terbabit mengemukakan permohonan lesen mahupun permit berstruktur sebelum 31 Disember 2013.

“Ia berikutan, kami mendapati banyak papan iklan didirikan secara haram tanpa kebenaran pihak MBAS, yang mana dikhuatiri menyebabkan ancaman keselamatan dan membahayakan nyawa penduduk tempatan.

“Jadi, pihak kami menjalankan pemeriksaan semula semua papan iklan yang terdapat di bawah pentadbiran majlis, sekali gus berusaha melakukan pemutihan papan iklan haram,” katanya dalam sidang media di pekarangan Pejabat MBAS, semalam.

Dalam pada itu, Mat Noh berkata, hasil penemuan pemantauan papan iklan dilakukan berkenaan maka pihaknya berjaya menemui 320 papan iklan secara keseluruhan, namun hanya 260 sahaja yang berjaya dikesan pemiliknya.

“Daripada 260 papan iklan ini, didapati 115 papan iklan berlesen tetapi tidak mempunyai permit struktur, 19 papan iklan berpermit struktur namun tidak memiliki lesen paparan visual. Manakala, 80 papan iklan tidak mempunyai lesen struktur mahupun lesen paparan visual,” katanya.

Tidak ketinggalan, katanya, pihak MBAS telah mengenal pasti bahawa sebanyak 60 papan iklan bukan hanya tidak dapat dikesan pemilik dan tidak mempunyai lesen paparan visualnya, malah juga tidak memiliki permit struktur.

Katanya, dia berasa kagum disebabkan telah menerima permohonan untuk pengiklanan, malahan banyak papan iklan didirikan di sekitar kawasan bandaraya ini seperti Jalan Gangsa, Jalan Putra, Simpang Hospital lama, Tol Lebuh Raya Utara Selatan.

Mat Noh berkata, sekiranya pihak MBAS mendapati masih ada pemilik yang tidak memiliki lesen mahupun permit seperti ditetapkan mereka sekitar pertengahan Februari depan, tindakan tegas yakni merobohkan papan iklan haram akan diambil.

Sumber: Sinar