PSMCK Sokong Kaji Semula Bayaran Pajakan Pulau Pinang

psmck
ALOR SETAR 19 November - Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menyambut baik cadangan kerajaan negeri supaya bayaran pajakan RM10,000 yang dikenakan ke atas Pulau Pinang disemak dan dinilai semula mengikut harga semasa.

Pengerusinya, Datuk Wan Shamsuddin Mohd. Yusof berkata, kadar tersebut diguna pakai sejak 1800 melalui perjanjian antara Sultan Kedah ketika itu, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah dan Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Sir George Leith Baronet dan tidak pernah disemak atau dinilai selepas itu.

"Tidak salah jika Kedah membuat tuntutan kerana bayaran RM10,000 itu tidak memadai dengan nilai semasa. Daripada segi sejarah Pulau Pinang dan Seberang Perai disifatkan masih hak milik Kedah mengikut perjanjian tersebut.

"Walaupun usaha ini mungkin memakan masa yang panjang, namun harus dimulakan demi masa depan rakyat Kedah dan persatuan akan berusaha membantu sedaya upaya daripada segi menyalurkan bukti-bukti sejarah berkaitan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir supaya nilai pajakan itu dikaji semula ketika membentangkan belanjawan Kedah 2014 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-13 di Wisma Darul Aman semalam.

Menurut Wan Shamsuddin, pihaknya sedang merancang pelbagai seminar berkaitan isu tuntutan tersebut termasuk tuntutan supaya Pulau Pinang dan Kedah dikembalikan kepada Kedah untuk menjelaskan secara terperinci perkara berkaitan kepada rakyat.

"Bukti perjanjian tersebut masih berkuat kuasa hingga sekarang yang mana Kerajaan Persekutuan masih membayar royalti RM10,000 setiap tahun kepada Kedah.

"Jadi Kedah boleh membuat tuntutan ke atas Pulau Pinang dan berdasarkan kadar semasa bayaran RM10 juta pun mungkin terlalu kecil kerana bayaran RM10,000 menggunakan kadar asal 10,000 Spanish Crown sejak beratus-ratus tahun dahulu," katanya.

Sumber: Utusan