Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
Badrol
Hisham Hashim (dua dari kiri) bersama Suraya Yaacob (empat dari kiri),
Badruddin Amiruldin (kanan) dan Pengarah Bahagian Pengiklanan, Lembaga
Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Abdul Khani Daud (kiri) mengacau
bubur asyura ketika program Karnival Asyura Negeri Kedah 2013 di Menara
Alor Setar, Kedah, semalam.
ALOR
SETAR 23 November - Lebih 300 peserta daripada pelbagai agensi
kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini
bergotong-royong menyediakan 41 kawah bubur asyura bagi menyemarakkan
sambutan Maal Hijrah 1435 di pekarangan Menara Alor Setar di sini hari
ini.
Karnival
Asyura Kedah itu dianjurkan oleh Tourism Malaysia Kedah dengan
kerjasama kerajaan negeri, Buraqoil, Menara Alor Setar, Majlis Bandaraya
Alor Setar (MBAS), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga
Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah
Kedah (KEDA).
Persiapan
dilakukan seawal pukul 8 pagi oleh para peserta untuk menyediakan bubur
asyura dengan pelbagai resipi agensi masing-masing sebelum diedarkan
kepada orang ramai yang melintasi jalan utama berhadapan Menara Alor
Setar dan mereka berkunjung ke situ selain di hotel-hotel.
Yang
hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air,
Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrol
Hisham Hashim; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan
Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan negeri,
Datuk Suraya Yaacob; Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin;
Pengarah Tourism Malaysia Kedah, Roslan Othman dan Pengurus Besar Menara
Alor Setar, Haslinda Abdul Rashid.
Karnival
sehingga pukul 5 petang itu turut dimeriahkan dengan aktiviti lain
seperti persembahan The Tariking, persembahan artis, kuiz pelancongan,
silat, demonstrasi mengisar beras dan persembahan pancaragam pelajar
sekolah.
Badrol
Hisham berkata, selain menyemarakkan kedatangan bulan Muharam dan tahun
baru kalendar Islam, karnival berkenaan juga mengeratkan ukhuwah sesama
jabatan dan NGO di negeri ini serta memperkenalkan menu tersebut kepada
para pelancong khususnya dari luar negara.
Katanya,
karnival juga adalah sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 untuk
mewujudkan kepekaan masyarakat terhadap kempen tersebut seterusnya
menjadi program Pelancongan Berasaskan Kemasyarakatan (CBT) sebagai
salah satu aktiviti pelancongan di Kedah.
"Ini
juga memberi peluang kepada pelancong yang berkunjung ke Kedah untuk
turut serta dalam komuniti tersebut bagi menimba pengalaman baharu dan
merasai aktiviti masyarakat tempatan.
"Para
pelancong gemar pada perkara unik dan bubur asyura merupakan makanan
tradisional istimewa yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Kemungkinan karnival ini diadakan setiap tahun dan lebih besar lagi
pada tahun depan," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan
karnival tersebut.
Dalam
pada itu, Roslan berkata, Tourism Malaysia Kedah cuba mempromosikan
bubur asyura sebagai salah satu produk pelancongan dengan mempelopori
penganjuran karnival seumpama itu yang mendapat sambutan menggalakkan
daripada 41 agensi kerajaan, swasta dan NGO.
Katanya, ini secara tidak langsung dapat mengetengahkan bubur asyura utara kepada orang ramai dan pelancong.
"Penyediaan
bubur asyura mempunyai pelbagai cita rasa mengikut wilayah seperti di
selatan dan timur tanah air. Secara tidak langsung kita mulakan dengan
Kedah dan merupakan satu promosi kepada semua," katanya.
Sumber: Utusan