Oleh JAMLIAH ABDULLAH
MUKHRIZ
Tun Mahathir bersalaman dengan pengunjung pada Hari Peladang Penternak
Dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah, di Taman Jubli Emas, Suka Menanti
Alor Setar, Kedah, semalam.
ALOR
SETAR 26 November - Kerajaan negeri akan berusaha melonjakkan
penghasilan sektor pertanian di negeri ini dengan memberi tumpuan bukan
sekadar penanaman padi sebaliknya kegiatan pertanian lain demi
menjadikan Kedah sebagai Jelapang Makanan Negara.
Menteri
Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, status Kedah sebagai
Jelapang Padi Negara merupakan satu kelebihan dan tidak harus
dipinggirkan sebaliknya diperkasa dengan mengetengahkan sektor pertanian
yang berpotensi bagi menjamin bekalan makanan negara, selain meningkat
pendapatan golongan petani.
Sehubungan
itu katanya, kerajaan negeri merangka dan menyusun hala tuju industri
serta kegiatan pertanian yang menjadi antara bahan perbincangan utama
dalam Makmal Transformasi Kedah sebelum ini.
"Kita
lihat negara maju walaupun hebat dalam bidang teknologi tinggi dan
kalau ada bidang pertanian, hasil pertanian di negara itu tetap
dipertingkatkan. Perlu ada keseimbangan antara pertanian dan industri,"
katanya pada majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan
Peringkat Kedah 2013 di Taman Jubli Emas Jalan Suka Menanti di sini hari
ini.
Yang
turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan
Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan negeri,
Datuk Suraya Yaacob.
Mengulas
lanjut, kata Mukhriz, pihaknya yakin dengan potensi sumber manusia dan
tanah pamahnya yang terbentang luas lagi subur, iklim yang sesuai dan
prasarana yang maju mampu menukilkan kehebatan Kedah sebagai negeri
pertanian utama dan maju pada dekad akan datang.
"Saya
lihat sektor pertanian yang berasaskan makanan adalah sesuatu yang
sangat penting kerana kita terlibat dengan padi dan mahu menjamin
bekalan makanan negara. Kalau boleh kita ingin keluarkan makanan yang
pelbagai antara lain permintaan untuk makanan yang bersifat organik bagi
manfaat kepada masyarakat.
"Ini
usaha menggantikan eksport kita terhadap makanan organik. Kita tidak
mahu di pasar raya kebanyakan makanan berkhasiat hanya diimport dan
mahal, maksudnya orang yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk
membeli makanan berkhasiat tinggi," katanya.
Dalam
pada itu katanya, bagi menggapai impian itu, perubahan struktur, budaya
kerja serta nilai pemikiran masyarakat pertanian dan agensi di bawahnya
perlu dipugar, digegas dan melalui proses baik pulih secara
besar-besaran.
"Saya mengharapkan petani, penternak dan nelayan di Kedah lahir antara golongan usahawan berjaya.
Mereka
unggul sebagai peniaga bidang pertanian yang mampu mempelbagaikan teras
ekonomi dan punca pendapatan termasuk kegiatan agro-pelancongan.
"Biarlah
petani, penternak dan nelayan di Kedah menjadi antara konglomerat hebat
dan "tuan tanah" yang dihormati masyarakat. Memiliki ladang yang luas,
kaedah pertanian sistematik, pekerja pengurusan yang profesional selain
keupayaan pemasaran sehingga menembusi pasaran luar negara," katanya.
Sumber: Utusan