ALOR
SETAR 28 November - Kerajaan negeri Kedah akan melaksanakan enam projek
termasuk pembinaan loji air baharu serta menaik taraf loji rawatan air
dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah bekalan air di sekitar
kawasan Padang Terap, Pokok Sena dan Sik.
Pengerusi
Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga,
Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrol Hisham Hashim berkata,
antara projek-projek itu ialah menaik taraf loji rawatan air Kuala
Nerang yang bernilai RM12.5 juta, cadangan pemasangan paip agihan dari
kolam (S1) Kuala Nerang hingga ke rumah pam Padang Kerasak bernilai
RM8.4 juta serta cadangan pembinaan loji air Lubuk Merbau bernilai RM12
juta.
Katanya,
tiga lagi projek ialah cadangan pembinaan tangki sedutan dan menaik
taraf rumah pam di Kampung Tengah dengan nilai RM500,000, cadangan
pembinaan loji air Pokok Sena bernilai RM50 juta dan menaik taraf sistem
agihan air ke sempadan Sik (Gulau dan Belantik) bernilai RM16 juta.
"Projek
menaik taraf loji rawatan air Kuala Nerang yang bernilai RM12.5 juta
sedang rancak dijalankan dan dijangka siap pada Januari tahun depan.
"Projek-projek
lain masih menunggu peruntukan daripada kerajaan Pusat dan pihak kami
berharap projek ini akan diberi keutamaan memandangkan masalah air di
kawasan ini telah lama berlaku," katanya demikian selepas menghadiri
taklimat isu air dan kes melibatkan tanah antara penduduk Padang Terap
dan Tradewinds Corporation Bhd. (Tradewinds) di Pejabat Tanah dan Daerah
Padang Terap di sini semalam.
Sumber: Utusan