Dedah Remaja Ilmu Pengurusan Jenazah

remajapengurusanjenazah
SUNGAI PETANI 30 Oktober - Bermatlamat melahirkan remaja cemerlang bukan sahaja dari segi akademik dan sahsiah, malah kerohanian dan keagamaan turut diberi tumpuan, membolehkan satu bengkel pengurusan jenazah dianjurkan.

Pengerusi Kelab Rakan Muda Jerai, Azwan Jamaludin berkata, selain menambah ilmu pengetahuan berhubung fardu kifayah, kursus itu juga mendidik remaja dalam memberi kesedaran mengenai kehidupan dan kematian seseorang Muslim.

Menurutnya, seramai 101 peserta mengambil bahagian dalam kursus berkenaan yang diadakan di surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 5, Jalan Jeniang, Gurun dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Utara, Pejabat Belia dan Sukan Daerah.

Hadir sama merasmikan majlis, Penolong Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Yan, Shahrul Zaman Morat selain Pengetua SMK Batu 5, Rosidah Musa.

Menurut Azwan, melalui pendekatan sedemikian, ia sebenarnya mampu membudayakan tuntutan ilmu fardu kifayah dalam usaha melahirkan generasi muda cemerlang dunia dan akhirat.

Beliau berkata, kesemua peserta dilihat berpuas hati dengan sesi yang dijalankan dan diharap ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap kerjasama ini akan terus berpanjangan sekali gus mampu menjalin hubungan erat untuk program lain pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, program bermanfaat akan terus dianjurkan sebagai salah satu tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dengan matlamat membangunkan generasi muda yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.

Sumber: Sinar Harian