KULIM 30 Oktober– Golongan pelajar di
negeri ini yang meminati dunia reka cipta perlu mengetengahkan idea
rekaan dan inovasi mempunyai kemampuan untuk dipasarkan kerana ia mampu
memberi pulangan lumayan kepada mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi
dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina
Mohd Nor berkata, berikutan itu setiap rekaan atau inovasi yang
dihasilkan seharusnya mempunyai nilai komersial dan mampu memberi sumber
pendapatan kepada perekanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata demikian ketika berucap di majlis
perasmian Pameran Inovasi Eureka-EIE 2014 di Universiti Kuala
Lumpur-Malaysian Spanish Institute (UniKL-MSI).
Katanya, sekiranya hasil rekaan atau
inovasi yang dihasilkan itu tidak mempunyai nilai komersial, maka produk
mereka tidak akan ke mana-mana. Penyelidikan adalah salah satu sektor
yang sangat penting dalam sesebuah negara serta mendapat sokongan
Kerajaan sehingga memberi bantuan untuk memajukan inovasi berkenaan.
“Sekiranya inovasi atau hasil rekaan itu
hanya tersekat di bahagian penyelidikan dan pembangunan, tetapi tidak
dapat dikomersialkan hasil rekaan itu, maka ia akan berakhir di bahagian
berkenaan tanpa ada manfaat,” ujarnya.
Menurutnya, setiap hasil rekaan perlu
ditumpukan kepada nilai komersial untuk dipasarkan pada masa depan,
namun lebih penting perlu berminda positif, komitmen dan keinginan untuk
cemerlang bagi menjayakan hasil rekaan mereka.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Kampus/Dekan UniKL-MSI, Profesor Dr Abu Talib Othman.
Sumber : UMTK