Tanam Getah Ganti Pokok Balak - MB Kedah

18getah
ALOR SETAR 18 Ogos – Dalam usaha memelihara kerosakan yang sudah pun berlaku, Kerajaan Negeri bakal mengusahakan tanaman pokok getah klon bagi menggantikan pokok-pokok balak yang ditebang oleh Kerajaan terdahulu secara clear-fell atau cuci mangkuk pada penggal lalu.

Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, tindakan itu diambil setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk sumber kewangan yang boleh disalurkan kepada Kerajaan Negeri.

“Mulanya terdapat cadangan untuk menanam pokok buah-buahan di kawasan terlibat, namun kajian lanjut mendapati, penanaman getah klon nampak lebih menguntungkan buat Kerajaan Negeri.

“Pada tahun keenam atau ketujuh, pokok itu sudah boleh ditoreh untuk mendapatkan hasilnya dan apabila pokok itu sudah tua iaitu pada tahun ke-20,  pokok itu boleh ditebang sebagai sumber pembalakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, YB. Dato’ Ahmad Lebai Sudin pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Ketiga Belas di Wisma Darul Aman, di sini yang meminta Kerajaan Negeri menyatakan jumlah pendapatan daripada sektor pembalakan jika dibandingkan sewaktu pemerintahan Kerajaan terdahulu.

Menteri Besar berkata, sejak mengambil alih Negeri Kedah pada pilihanraya umum yang lalu, pendapatan negeri melalui sektor pembalakan sememangnya berkurangan berbanding pada zaman pemerintahan Kerajaan terdahulu memandangkan Kerajaan Negeri tidak lagi menjadikan pembalakan sebagai sumber pendapatan utama.

Katanya, bagi menampung kekurangan itu, Kerajaan Negeri menggunakan pendekatan yang lain untuk mencari pendapatan termasuk melalui sektor perindustrian.

Sumber:UMTK