Semua Pihak Perlu Laksanakan Peranan Majukan Negeri – Sultan Kedah

18majukan
ALOR SETAR 18 Ogos – Semua pihak di negeri ini perlu melaksanakan peranan sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan agar kemajuan dan kemakmuran dapat dibina secara inklusif.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah bertitah, pembangunan bagi sesebuah negeri mesti bersifat lestari dan mapan di mana Kerajaan Negeri Kedah perlu membuat perancangan jangka panjang untuk negeri ini.

"Jangan terlalu terikat dengan keberhasilan bersifat jangka pendek semata-mata kerana jangka panjang adalah lebih penting bagi masa depan anak cucu kita.

"Beta minta Ahli-ahli Dewan agar melihat perkara ini dengan lebih serius. Beta mahu Kerajaan Negeri tidak terlalu memikirkan sangat kritikan tentang keberhasilan jangka pendek yang diinginkan oleh sesetengah pihak tetapi terus berpegang kepada pesanan beta ini," titah baginda.

Titah baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang juga Tunku Temenggong Kedah ketika merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Kedua di Wisma Darul Aman, di sini.

Baginda bertitah,  tugas sesebuah Kerajaan bukan hanya untuk meraih populariti dalam tempoh lima tahun semata-mata.

"Beta yakin Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar akan mampu menggalas tanggungjawab ini dengan penuh ikhlas dan berkesan.

"Beta juga mencadangkan agar pentadbiran negeri melaksanakan secara bijaksana segala rancangannya berpandukan prinsip kemakmuran dan keselesaan rakyat terutama dalam kalangan mereka yang kurang upaya, tidak berkemampuan dan tercicir daripada arus pembangunan," titah baginda.

Berangkat sama ialah Toh Puan Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Datin Seri DiRaja Puan Sri Dato’ Seri Tengku Maliha binti Tengku Ariff; Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Panglima Besar Kedah, Yang Teramat  Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah; Tunku Laksamana Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Toh Puan Laksamana Kedah, Yang Amat Berbahagia Datin Seri DiRaja Dato’ Nora binti Abdullah.

Turut hadir ialah Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir; isteri Menteri Besar Kedah, Tok Puan Norzieta Zakaria; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah.

Sumber:UMTK