ALOR
SETAR 18 Ogos – Sistem pintu automatik bagasi bakal diperkenalkan
selepas kerja naik taraf Jeti Kuah siap selewat-lewatnya pada September
2015.
Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain
berkata, sistem itu akan memudahkan urusan pengendalian bagasi
pengunjung ke Pulau Langkawi dengan lebih sistematik.
Menurutnya, kini penumpang terpaksa membawa sendiri bagasi mereka ke dalam feri tanpa sebarang had muatan.
“Melalui
sistem ini, penumpang yang mempunyai tiket sahaja dibenarkan membawa
masuk bagasi melepasi pintu automatik itu,” katanya ketika menjawab
soalan tambahan YB. Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah) pada Mesyuarat Pertama
Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Ketiga Belas di Wisma Darul
Aman, di sini.
Beliau berkata, bagasi akan diuruskan oleh operator yang membawa masuk ke dalam feri dan diletakkan di tempat khas.
“Selain
itu, Jabatan Laut sudah berbincang dengan operator feri untuk
menyelaraskan pembayaran troli membawa bagasi kepada sekali berbanding
sekarang di Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuah,” katanya.
Bagi
mengatasi masalah kesesakan di Jeti Kuah yang sering kali berlaku pada
musim cuti, perbincangan dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan
pihak berkuasa tempatan turut diadakan.
“Kita
akui masalah kerana kemasukan kenderaan persendirian bertambah pada
waktu itu dan bagi memastikannya berjalan lancar, pihak terbabit akan
diminta menyediakan parkir yang mencukupi.
“Masalah
di Jeti Kuala Kedah dapat diselesaikan apabila Majlis Bandaraya Alor
Setar (MBAS) dan Jabatan Laut membina parkir bertingkat dilaksanakan
kelak. Sekarang ini sudah peringkat akhir menentukan reka bentuk,”
ujarnya.
Sumber:UMTK