Lebih RM50 Juta Diperlukan Atasi Bekalan Air

28AIR
ALOR SETAR 28 Ogos – Kerajaan Negeri memerlukan lebih RM50 juta bagi menjalankan projek pembesaran loji air Padang Sanai, Padang Terap serta pembinaan loji air baru di Pokok Sena untuk mengatasi masalah bekalan air di dua daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, permohonan untuk mendapatkan dana tersebut telah dipanjangkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Kita amat berharap permohonan ini diluluskan oleh Kerajaan Pusat kerana pembinaan loji baru Pokok Sena dan pembesaran loji air di Padang Sanai dijangka dapat mengatasi masalah bekalan air yang sering dihadapi oleh penduduk di daerah ini.

“Saya juga berbincang mengenai perkara ini dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Abdul Wahid Omar sewaktu beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, lebih 1,000 penduduk di dua daerah itu terlibat dengan gangguan air kerana masalah tekanan air yang rendah. Antara kawasan yang dikesan sering mengalami gangguan bekalan air ialah Felda Lubuk Merbau, Kampung Bukit, Keda Poh Selatan dan banyak lagi.

“Kawasan itu sering mengalami gangguan bekalan air kerana terletak di kawasan tinggi dan tekanan air menjadi rendah sehingga mereka tidak memperoleh bekalan air pada waktu-waktu tertentu,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya juga telah mengarahkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) agar lebih kerap menghantar bekalan air kepada penduduk di kawasan terlibat.

Sumber : UMTK