Kerajaan Negeri Cadang HSB Di Naik Taraf

15hsb
ALOR SETAR 15 Julai – Kerajaan Negeri akan mengemukakan cadangan menaiktaraf Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berikutan hospital itu kini telah mencapai kapasiti yang maksima bagi menampung jumlah pesakit dari daerah berdekatan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, bagaimanapun, kertas cadangan itu perlu dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan untuk kelulusan.

“Sudah tiba masa HSB diperbesarkan dengan tambahan bangunan baru untuk menempatkan pesakit. Bagaimanapun, perkara ini perlukan persetujuan Pusat. Kerajaan Negeri boleh pertimbangkan untuk salurkan bantuan lain yang diperlukan, termasuk dana,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada pesakit HSB, di sini.

Menurutnya, beliau turut berpuas hati dengan kemudahan dan perkhidmatan yang diberikan HSB kepada pesakit, selain kagum dengan usaha hospital itu meningkatkan mutu perkhidmatannya.

“Keperluan rakyat Kedah adalah keutamaan kita, termasuk isu kesihatan. Kita akan adakan perbincangan dengan pihak HSB untuk kenal pasti keperluan lain untuk diberi keutamaan,” ujarnya.

Pada lawatan itu, Menteri Besar turut mengunjungi kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan dan komunikasi bawah Projek Rehabilitasi Awal Melalui Kumpulan Bersepadu Lestari (Preamble Step).

Tambahnya, HSB kini dilengkapi teknologi terkini untuk mengenal pasti bayi yang mengalami masalah pendengaran sejak lahir dan mereka boleh mendapatkan rawatan di pusat berkenaan.

“Sudah banyak usaha dibuat untuk tingkatkan kemudahan perkhidmatan termasuk kepada pesakit kanak-kanak. Pusat ini membolehkan rawatan awal dibuat seawal mungkin dan ia satu usaha yang sangat baik,” katanya.

Turut hadir ialah isteri Menteri Besar, Tok Puan Norzieta Zakaria dan Pengarah HSB, Dato’ Dr. Juita Ghazalie.

Sumber:UMTK