Malam Cinta Rasul Dan Karnival Rakyat

7mlmcinta
BALING 7 April – Lebih 30,000 rakyat di daerah ini membanjiri perkarangan tempat letak kereta bersebelahan Kentucky Fried Chicken (KFC) sempena sambutan Malam Cinta Rasul dan Karnival Rakyat.

Kehadiran ribuan rakyat Baling yang menunggu sejak jam 6 petang sehingga pada sebelah malamnya dalam keadaan hujan renyai-renyai tidak mematahkan semangat mereka untuk turut sama berzikir dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program Malam Cinta Rasul dan Karnival Rakyat, Mohd Noor Mohd Amin berkata, Malam Cinta Rasul itu diadakan bertujuan untuk mencari keredhaan Allah SWT.

“Kita sebenarnya sedang mencari keredhaan Allah SWT dan bertepatan dengan situasi masa kini yang kian mencabar, keredhaan Allah SWT amat kita utamakan.

“Penyatuan hati umat Islam amat penting demi mencari keredhaan-Nya dan semua umat Islam harus bersatu hati supaya agama Islam tetap teguh di hati kita,” katanya.

Menurutnya, Malam Cinta Rasul turut diserikan lagi dengan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang diketuai oleh Kumpulan Al-Mawlid. Ceramah agama turut diadakan dan disampaikan oleh Habib Al Zenal Abidin dan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya.

“Sebagai rakyat di negara ini, kita patut bersyukur kerana tiada kebuluran yang berlaku dan pelbagai jenis makanan dan pakaian yang cantik-cantik serta sempurna ada di sini,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom berkata, walaupun ada yang basah tetapi semua yang hadir tetap tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

“Ini memberikan semangat dan rangsangan yang tinggi kepada pemimpin untuk terus bersama rakyat.

Program seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa ke serata negeri kerana ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Tambahnya, program yang diadakan itu turut dipenuhi dengan aktiviti sukan dan juga pameran daripada agensi-agensi kerajaan serta pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Tabung Haji, YB. Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga merangkap Ahli Parlimen Baling.

Sumber:UMTK