Kelab Usahawan Di Seluruh Kedah

kelabusahawankdh
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

Mohd. Ali Mohd. Rustam memberi sumbangan zakat kepada Roslan Md. Daud yang cacat penglihatan dalam program Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad bersama penduduk Simpang Tiga Sungai Limau di Pusat Daerah Mengundi Simpang Tiga, Jerai, Kedah, semalam.

JERAI 30 Oktober - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), akan menubuhkan Kelab Usahawan PUNB di seluruh negeri bagi menyediakan ruang kepada para usahawannya untuk berhubung dan menyokong antara satu sama lain.

Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, penubuhan kelab berkenaan juga bertujuan memberi inspirasi kepada usahawan dan seterusnya menyemarakkan semangat keusahawanan dalam kalangan ahli.

"Menerusi kelab ini, para usahawan bukan sahaja dapat memantapkan hubungan silaturahim malah dapat menggunakan platform ini untuk bertukar dan berkongsi sebarang permasalahan serta pengalaman perniagaan melalui sesi perkongsian ilmu, bengkel dan jaringan sosial," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama, usahawan PUNB Kedah dan penyampaian zakat perbadanan itu di Sungai Limau di sini hari ini.

Pada majlis itu PUNB turut menyampaikan zakat kepada 30 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Menurut Mohd. Ali, penubuhan Kelab Usahawan PUNB turut memberi manfaat kepada usahawan untuk mendapatkan idea-idea perniagaan baharu yang kreatif dan inovatif menerusi perbincangan untuk dikongsi bersama.

"Semua perancangan ini memerlukan sokongan semua pihak terhadap usaha yang dijalankan kerajaan untuk membela nasib rakyat.

"Kedah merupakan negeri pertama menubuhkan kelab ini. Selain menubuhkan di negeri-negeri, kita juga merancang untuk menubuhkannya mengikut beberapa industri seperti perniagaan emas," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat 25 Oktober lalu, PUNB telah membeli sebanyak 102 unit premis perniagaan yang bernilai secara keseluruhan kira-kira RM113 juta.

Di Kedah, katanya, sebanyak lima unit telah dibeli oleh perbadanan itu dengan nilai pelaburan sebanyak RM2.62 juta.

Sumber: Utusan