BAKAL JADI ACARA DWI TAHUNAN


3bakal
ALOR SETAR 3 Mac - Ekspo Muafakat Kedah bakal menjadi acara dwi tahunan yang akan diadakan dua tahun sekali, edisi berikutnya dianjurkan pada Februari 2020.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pengumuman itu dibuat berikutan kejayaan pencapaian dan kejayaan menerusi penganjuran ekspo berjaya menarik lebih 500,000 pengunjung yang mana lebih angka yang disasarkan.
“Tetapi, syarat Ekspo Muafakat Kedah menjadi acara dwi adalah BN perlu diberi mandat peringkat negeri dan kerajaan pusat.
“Jika mandat kukuh kita peroleh, maka Ekspo Muafakat Kedah 2.0 di era 2020 akan ditambah nilai dengan dua pakej kluster iringan melibatkan penyertaan kesemua kementerian yang ada selain tumpuan penglibatan dari negara jiran yang terangkum di dalam kerangka kerjasama IMT-GT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan pada majlis penutup Ekspo Muafakat Kedah yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di pekarangan Stadium Darul Aman, malam ini.
Menurutnya, dalam konteks Kedah, tujuan dan misi kerajaan negeri BN adalah nyata dan pastinya tidak akan menoleh ke belakang.
“Kita bukan seperti ‘mereka di sebelah sana yang sering melakukan 'u-turn’. Kita mahu ‘memacu masa hadapan, agar Kedah terus berkemajuan’.
“Oleh kerana itulah, Pelan Pembangunan Kedah 2019-2035 ini sekali lagi sepertimana dasar terdahulu, merupakan satu pelan induk yang terangkum di dalamnya dasar-dasar yang achievable (boleh dicapai) bersesuaian dengan ekosistem masyarakat Kedah,” katanya.
Oleh : Gokina Morganan
Sumber : Sinar