RM 8.1 JUTA KOS PEMBINAAN GIAT MARA


2rm
YAN 2 Februari - Sebanyak RM 8.1 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan GiatMara Jerai di atas tapak seluas dua hektar yang terletak di Simpang Empat, Jalan Titi Hayun, Yan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kursus yang ditawarkan ialah Pendawaian Elektrik, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Fesyen dan Dressmaking serta Penyelenggaraan Perindustrian.
"Terdapat juga kursus baharu yang dalam perancangan iaitu Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam," katanya.
Diharapkan dengan pembinaan bangunan GiatMara Jerai ini dapat merancakkan lagi bidang kemahiran.
"Ia secara tidak langsung selari dengan motto Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu membandarkan luar bandar.
"Selain itu juga, perasmian bangunan baharu ini diharap mampu memberi ruang kepada komuniti untuk mendapatkan latihan dan juga menggunakan kemudahan secara bersama," katanya ketika merasmikan bangunan baharu GiatMara Jerai, semalam.
Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan GiatMara Jerai.
Ismail Sabry berkata, kewujudan GiatMara ini sangat penting bagi membuka peluang kepada anak-anak yang kurang minat didalam akademik.
"Dengan adanya GiatMara, anak-anak yang berfikiran kreatif dan minat dalam kemahiran tertentu boleh melanjutkan pengajian," katanya.
Katanya, dengan medium seperti ini anak-anak mempunyai peluang membina masa depan yang lebih baik.
Pembinaan bangunan ini mampu memberi branding yang lebih baik kepada GiatMara disamping memenuhi keperluan setempat yang menginginkan kemajuan menerusi kemahiran.
"Penglibatan dalam bidang kemahiran diharap mampu menjana pendapatan masyarakat dan meningkatkan sosioekonomi penduduk luar bandar," katanya.
Oleh : Norjuliana Yaacob
Sumber : Sinar