BEKALAN AIR MENCUKUPI UNTUK PERTANIAN


11bekalan
JITRA 11 Februari - Paras air di tiga empangan di Kedah berada pada paras terkawal dan mencukupi bagi kegunaan domestik, industri dan pertanian.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Othman Aziz berkata, walaupun Kedah menghadapi musim kemarau pada ketika ini namun takungan air di Empangan Pedu, Ahning dan Muda berada pada paras 100 peratus.
"Malah dua minggu lalu, terdapat laporan mengatakan paras air mencecah 104 peratus sehingga berlaku limpahan sebanyak empat peratus yang mengalir ke sungai dan laut,"katanya pada media selepas Majlis Pengisytiharan dan Penyerahan Watikah JPP Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman 2018 di sini, hari ini.
Menurutnya, petani juga tidak perlu bimbang kerana dijangkakan penanaman padi musim pertama dan kedua pada tahun ini akan berjalan lancar tanpa masalah bekalan air.
"Kita juga harap para petani dapat mengikut jadual penanaman yang disediakan agar tidak berlaku pembaziran air untuk saliran dan pengairan tanaman padi.
"Selalunya apabila kita terlewat dan tak ikut jadual... kat situlah bermulanya pembaziran air.
"Jadi kita kena jaga sumber air dan menggunakannya pada tahap optimum, sebagai persediaan sekiranya kemarau ini berpanjangan," katanya.
Terdahulu, Othman menyampaikan watikah perlantikan kepada 27 pelajar yang terpilih untuk menganggotai Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Darulaman bagi sesi 2018/2019.
Turut hadir, Pengarah IPG Kampus Darulaman, Datin Naimah Jaafar.
Oleh : Roshila Murni Rosli
Sumber : Sinar