PINDAHKAN PESAKIT DARI LANGKAWI


5UDARA
ALOR SETAR 5 Januari - Kedah mencipta sejarah tersendiri apabila Jabatan Kesihatan Negeri Kedah memperkenalkan perkhidmatan helikopter sebagai ambulans udara untuk kemudahan memindahkan pesakit di Hospital Langkawi.
Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, perkhidmatan pemindahan perubatan (Medivac) itu lebih efisyen dan menjimatkan masa, berbanding menggunakan feri dan ambulans laut.
“Sebelum perkhidmatan ini diperkenalkan, pesakit dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar melalui feri atau ambulans laut. Ia mengambil masa lama selain berdepan kesukaran untuk kes yang perlu dipindahkan pada waktu malam,” katanya.
Menurutnya, perkhidmatan ambulans udara ini mempercepatkan proses pemindahan pesakit untuk mendapatkan rawatan dan kepakaran yang tidak disediakan di Hospital Langkawi.
“Hospital Langkawi hanya menyediakan perkhidmatan kepakaran asas iaitu perubatan, pediatrik, pembedahan, otopedik, kecemasan dan trauma, bius (anaetesiology), obstetrik & ginekologi, radiologi. Bagi rawatan kepakaran lain seperti neurosurgery, kardiologi, urologi, hepatobiliary dan sebagainya tidak disediakan,” katanya.
Norhizan berkata, helikopter jenis Airbus H135 9M-DRA yang digunakan diubahsuai kepada ambulans udara dan dilengkapi alat perubatan.
“Helikopter ini mampu melakukan penerbangan bagi kes kecemasan atau kes yang memerlukan rawatan pakar di mana kepakaran yang diperlukan tiada di Hospital Langkawi. Ia beroperasi 24 jam,” katanya.
Menurutnya, ruang helikopter dapat menempatkan dua anggota perubatan dan seorang pesakit dalam kedudukan dibaringkan.
“Buat permulaan, bagi dua minggu pertama Januari adalah fasa latihan. Latihan perlu diberikan kepada pakar perubatan, pegawai perubatan dan paramedik untuk mempelajari teknik menggunakan alatan perubatan yang dibekalkan, selain tatacara pemindahan pesakit,” katanya.
Norhizan berkata, kontrak perkhidmatan adalah selama dua tahun bermula 1 Januari 2018.
“Ambulans udara ini dijangka memulakan operasi pemindahan pesakit pada 16 Januari setelah latihan selesai,” katanya.
Menurutnya, pemindahan atau rujukan pesakit adalah ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan Hospital Pulau Pinang atau mana-mana hospital ditetapkan berdasarkan keperluan kepakaran rawatan yang diperlukan.
Oleh : Roslinda Hashim
Sumber : Sinar