1000 PELAJAR TERIMA PAKAIAN SEKOLAH


26pelajar
SIK 26 Disember – Sebanyak 1,000 pelajar sekolah rendah terdiri daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan menerima sumbangan set pakaian sekolah daripada Kelab Putera 1Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pene­rangan, Pembangunan Luar Ban­dar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu meningkatkan motivasi mereka untuk memperoleh kejayaan membanggakan.
“Sumbangan ini akan berterusan diberikan kepada pelajar sekiranya masih ada lagi yang tercicir terutamanya pelajar miskin dan berpendapatan rendah.
“Saya mohon sekiranya masih ada lagi kes-kes terlepas pandang dan pelajar tersebut tidak lagi menerima sumbangan, harap dapat salurkan maklumatnya kepada Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Belantek supaya bantuan dapat disampaikan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyampaian bantuan tersebut di Dewan Al-Hana di sini baru-baru ini.
Setakat ini sebanyak 3,000 set kelengkapan pakaian sekolah te­lah disampaikan kepada golongan tersebut.
Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Mohd. Zul Haikal Zamzuri, 7, dari Kampung Tanjung berkata, dia amat gembira menerima set pakaian seragam sekolah itu, apatah lagi ibunya, Siti Khadijah Hasan, 41, belum membuat persiapan persekolahan.
“Saya tidak sabar hendak ke sekolah dan memakai pakaian sekolah yang baharu untuk berjumpa dengan guru dan rakan-rakan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang membantu golongan miskin seperti saya dan saya berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.
Sumber : Utusan