JETI FERI DI LANGKAWI DISWASTAKAN


24jeti
LANGKAWI 24 Disember - Kerajaan sedang menjalankan proses menswastakan beberapa jeti persinggahan feri di pulau peranginan ini sebagai langkah untuk meningkatkan tahap perkhidmatannya.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, pendekatan itu sejajar dengan perkembangan perkhidmatan feri yang merupakan salah satu penghubung antara pulau ini dan tanah besar Semenanjung Malaysia.
“Pendekatan ini lebih berorientasikan perniagaan dan kita dapat menggembleng sumber swasta yang seterusnya dapat meningkatkan tahap perkhidmatan dan keselamatan pengguna,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan MV Success, feri pengangkutan kenderaan dan penumpang di Pelabuhan Tanjung Lembong di sini semalam.
Beliau berkata, menerusi proses penswastaan jeti itu, kerajaan berhasrat meningkatkan lagi sistem feri di negara ini supaya setaraf dengan sistem perkhidmatan serupa di Eropah.
“Kita mengharapkan syarikat yang mengusahakan perkhidmatan feri ini untuk terus meningkatkan tahap perkhidmatan dan keselamatan agar pengguna lebih yakin menggunakannya,” katanya.
Sementara itu, MV Success yang akan memulakan perkhidmatan hari ini, merupakan feri terbesar di Malaysia dan pertama beroperasi membawa kenderaan dan penumpang untuk laluan Kuala Kedah-Langkawi.
Feri jenis 'Roll-On, Roll-Off' (Roro) milik Dragon Star Shipping Sdn Bhd dan Goldhill Reward Sdn Bhd itu mempunyai kapasiti membawa 60 kereta dan 360 penumpang pada satu-satu masa.
Pengarah Urusan Dragon Star Shipping dan Goldhill Reward, Faizal Abdul Wahab berkata, feri itu disediakan dengan pelbagai kelengkapan untuk keselesaan penumpang yang mengambil masa kira-kira tiga jam.
Beliau berkata, kedua-dua syarikat berkenaan akan melancarkan sebuah lagi feri jenis Roro yang memberi perkhidmatan tambah nilai tahun depan, selain menambahkan jumlah feri penumpang miliknya kepada lapan unit daripada tiga unit yang sedang beroperasi sekarang.
“Apa yang menjadi kebanggaan kami adalah kesemua feri ini dibina menerusi kepakaran tempatan dan pekerja kami juga terdiri daripada orang tempatan,” katanya.
Sumber : Sinar