JUAL TIKET DALAM TALIAN, SELESAI MASALAH


15jual
ALOR SETAR 15 November - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mahu Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menjual tiket untuk semua perlawanan akhir secara dalam talian bagi mengelak berlakunya masalah ketika penjualan dibuat di stadium.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri, Datuk Aminuddin Omar berkata, langkah tersebut akan menyelesaikan masalah penjualan tiket tidak teratur di stadium atau peminat menyalahkan persatuan apabila gagal mendapat tiket seperti yang berlaku ketika final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 4 November lalu.
“Kami akan merayu kepada FMLLP untuk mempertimbangkan cadangan ini.
“Kami akan menggesa FMLLP untuk menjual semua tiket bagi perlawanan akhir secara dalam talian,” katanya dalam ucapan penggulungan pada sesi debat Bajet 2018 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.
Aminuddin yang juga Setiausaha Kehormat KFA, akan meminta mesyuarat majlis eksekutif KFA untuk membincangkan cadangan itu sebelum mengemukakannya kepada FMLLP untuk dipertimbangkan.
Beliau berkata ribuan peminat yang marah telah menyerbu pejabat KFA untuk melepaskan kemarahan dan menuduh persatuan tidak telus dalam isu jualan tiket selepas gagal mendapatkan tiket untuk final Piala Malaysia baru-baru ini.
Aminuddin menegaskan, KFA telus dalam penjualan tiket perlawanan it, malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri ada menempatkan pegawainya di kaunter bagi mengelakkan penipuan berlaku.
“KFA terima kuota 30,000 tiket dan 8,000 daripadanya dijual di kaunter kepada peminat. Bakinya pula dijual melalui tempahan membabitkan 400 bas dengan jangkaan 44 peminat di setiap bas, selain kepada pertubuhan bawah KFA, “ katanya.
Sumber : Utusan