TIADA KAITAN DENGAN KERAJAAN NEGERI


1tiada
ALOR SETAR 1 Oktober - Kerajaan negeri hari ini menafikan karnival kerjaya yang dianjurkan di sebuah hotel di sini mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia, Datuk Norsabrina Mohd. Noor berkata, Karnival Kerjaya Zon Utara Jobsifu.com 2017 yang berlangsung petang semalam itu adalah program anjuran penuh pihak swasta tanpa sebarang campurtangan daripada kerajaan negeri Kedah dan ia adalah sebuah penganjuran bebas.
“Saya akui Menteri Besar bagi pihak kerajaan negeri turut menerima jemputan untuk hadir ke program berkenaan namun beliau memutuskan untuk tidak hadir atas alasan tertentu.
“Saya juga difahamkan berlaku sedikit kekecohan membabitkan yuran yang dikenakan oleh pihak penganjur namun sehingga kini saya belum menerima makluman rasmi mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, sebagai mewakili kerajaan negeri beliau kesal dengan apa yang berlaku dan berharap pihak penganjur supaya lebih sensitif dan bertanggungjawab dengan isu-isu berkaitan supaya ia tidak mendatangkan masalah dan menimbulkan kemarahan mana-mana pihak.
Kekecewaan orang ramai tentang penganjuran program tersebut yang didakwa mencekik darah orang ramai yang hadir kerana menggenakan pelbagai bayaran termasuk untuk mendapatkan borang tular di media sosial sejak malam tadi.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan