DIJUAL DENGAN HARGA TINGGI


20DIJUAL
SINTOK 21 Oktober – Wujud pihak di Kedah yang mengambil kesempatan menjual benih padi bersubsidi kepada petani dengan harga tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, hasil maklumat diterima pihaknya mendapati terdapat pekedai kecil dan agen yang sengaja menjual benih padi bersubsidi untuk mengaut keuntungan lebih.
Suraya berkata, golongan berkenaan mengambil kesempatan atas kelewatan pembekalan benih padi di pasaran yang antaranya disebabkan masalah teknikal.
“Kita dah tak ada masalah cumanya ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan sehingga menyebabkan kurangnya di pasaran.
“Kalau mereka (petani) beli di kedai-kedai dengan harga mahal, minta kepada pekedai keluarkan resit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Suraya berharap agar petani tidak terburu-buru mendapatkan bekalan benih padi yang tidak bersubsidi kerana jadual penanaman padi bagi musim 2/2017 masih belum terlewat.
Sebelum ini isu benih padi sah timbul apabila segelintir petani merungut berlaku kelewatan pembekalan benih padi di pasaran menyebabkan mereka gusar dengan kelewatan penanaman padi hingga bertindak membeli daripada pekedai kecil dan ejen.
Sumber : Sinar