6,000 TERIMA SUMBANGAN DEEPAVALI


8sumbangan
BALING 8 Oktober – Hampir 6,000 kaum India di daerah ini mene­rima sumbangan sempena sambutan Hari Deepavali yang akan tiba tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, lebih RM700,000 dibe­lanjakan untuk menyediakan sumbangan termasuk wang, sari, kurta dan makanan bagi meringankan beban penerima yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
“Ini merupakan tahun kelapan kita berikan bantuan kepada mereka bagi membantu mengurangkan perbelanjaan musim perayaan mereka.
“Setiap tahun kita adakan penambahbaikan dan peningkatan cara dan kaedah pemberian sumbangan ini supaya ia sama rata tanpa mengira fahaman politik dan kaum,” kata Abdul Azeez.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Perpaduan Masyarakat India 2017 dan Penyampaian Sumbangan Sempena Deepavali di Padang Awam Kuala Ketil di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan sentiasa mendengar setiap permasalahan rakyat dan akan cuba menyelesaikannya secepat mungkin.
“Sehingga kini, lebih 100 rumah masyarakat India dibaik pulih dan pelbagai bantuan lain seperti kerusi roda, lampin pakai buang dan sebagainya turut diberi kepada mereka yang memerlukan.
Sementara itu, penerima sumbangan, V. Pupathi, 53, berkata, dia amat terharu apabila menerima pemberian sumbangan tersebut.
“Saya amat gembira sekali kerana ibu saya yang menghidap penyakit lumpuh sejak beberapa tahun lalu turut menerima sumbangan.
“Pemberian ini amat bermakna bagi kami kerana dapat menampung perbelanjaan dapur dan digunakan untuk menyambut perayaan Deepavali dengan lebih meriah,” kata Pupathi.
Sumber : Utusan