YAYASAN WARISAN KEDAH TUA BAKAL DIWUJUDKAN


25yayasan
SUNGAI PETANI 25 September - Yayasan Warisan Kedah Tua akan diwujudkan dalam usaha merealisasikan cadangan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dalam membangunkan Tapak Arkeologi Sungai Batu yang diiktiraf sebagai Tamadun Tertua Asia Tenggara pada 2016.
Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, cadangan itu dicetuskan Sultan Sallehuddin sempena keberangkatan baginda ke Kompleks Tamadun Sungai Batu pada Mei lalu.
"Baginda mencadangkan perkara ini untuk membantu kerajaan negeri dan Jabatan Warisan Negeri bagi mendapatkan dana tambahan yang boleh digunakan bagi membangun prasarana sama ada bangunan atau muzium, digunakan sebagai tempat urus tadbir dari aspek pemasaran dan promosi,"katanya, pada sidang media, selepas merasmikan seminar produk ikonik pelancongan Daerah Kuala Muda, di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), hari ini.
Seminar berkaitan penglibatan secara langsung dalam mengkaji dan mempelopori usaha mengangkat tiga ikonik pelancongan bernilai tinggi di Daerah Kuala Muda; iaitu Jerai Geopark, Tamadun Sungai Batu dan Biodiversiti Sungai Merbok.
Mohd Rawi berkata, menerusi yayasan itu, beliau sasarkan kutipan dana sebanyak RM30 juta.
"Bagaimanapun, usaha menubuhkan yayasan dalam mendirikan prasarana berkenaan masih dalam peringkat kajian terakhir Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (Upen). Kita masih menunggu kelulusan Upen.
"Selepas yayasan ditubuhkan, mereka akan berbincang dengan kerajaan negeri dan Upen bersama Jabatan Warisan Negeri. Ini kerana, pemilik entiti tanah di tapak berkenaan melibatkan tiga pihak dan sebahagian tanah masih milik negeri dan selebihnya milik Jabatan Warisan Negeri,"katanya.
Mohd Rawi berkata, walaupun tapak itu diletakkan bawah Jabatan Warisan Negeri, jabatan berkenaan perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negeri.
"Saya yakin lembaga pengarah yayasan akan dianggotai mereka yang berpengalaman seperti yayasan yang menguruskan tapak arkeologi dunia lain seperti Angkor Wat dan Borobudur. Pendapatan salah satu tapak arkeologi itu mencecah 50juta dollor Amerika Syarikat (RM200 juta) setahun dengan hanya jualan tiket.
"Kita harap, satu hari dengan terbina prasarana lengkap di Sungai Batu kesannya turut terpalit kepada Sungai Petani dalam sektor perhotelan dan sebagainya. Kita adakan produk pelancongan bukan untuk sejam tetapi mahu pelancong tinggal berhari-hari untuk melakukan kajian di tapak arkeologi di sini," katanya.
Tahun lalu, Tapak Arkeologi Sungai Batu berjaya menarik kunjungan hampir 100,000 pengunjung.
Setakat ini, empat fungsi telah ditemui hasil dari kerja-kerja ekskavasi dijalankan di 52 buah tapak yang dibuka dari keseluruhan 97 buah tapak yang ditemui sekitar tapak arkeologi itu.
Antaranya tapak ritual yang mempunyai monumen unik dengan rekaan bentuk yang menarik, pusat industri peleburan besi, jeti pelabuhan yang digunakan untuk perdagangan dan juga bangunan shah bandar (pentadbiran) yang menguruskan pelabuhan.
Oleh : Gokina Morganan
Sumber : Sinar