JUMLAH MANGSA DI PUSAT PEMINDAHAN MENURUN


25jumlah
ALOR SETAR 25 September - Banjir di negeri ini beransur pulih apabila jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga 12 tengah hari ini menunjukkan penurunan kepada 2,746 orang berbanding 3,607 orang dalam tempoh dua jam.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Kapten Angkatan Pertahanan Awam (APM), Saifuddin Abdullah berkata, sebanyak 759 keluarga masih menduduki 21 pusat pemindahan yang dibuka di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Pokok Sena.
“Di Kota Setar, sebanyak 1,026 mangsa daripada 312 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan yang masih dibuka sehingga kini.
“Seramai 522 orang daripada 240 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan di Kubang Pasu manakala di Pendang hanya pusat pemindahan Dewan Rakan Sukan Tanah Merah dibuka membabitkan 280 orang daripada 77 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, empat pusat pemindahan masih beroperasi di Pokok Sena iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, dewan orang ramai Kampung Empa, Dewan Kampung Permatang Limau dan Dewan Lubuk Keriang membabitkan 525 mangsa daripada 127 keluarga.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan