RM70,000 Pulih Tebing Runtuh di Sik


5rm
SIK 5 September - Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM70,000 untuk membaik pulih tebing runtuh serta jalan berlubang di laluan Gulau ke Belantik dekat Kampung Pinang di sini Sabtu lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM50,000 diperuntukkan bagi kerja membaik pulih tebing runtuh dengan memasang sangkar batu setinggi enam meter bagi mengekang hakisan terus berlarutan.
"Selebihnya RM20,000 lagi ialah untuk membaiki semula jalan tar yang berlubang dan pecah di atas jambatan Kampung Charok Senduk yang terletak satu kilometer dari kawasan tebing runtuh itu,” katanya kepada pemberita.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Belantik meninjau kawasan kejadian semalam yang turut disertai Anggota Parlimen Sik, Dr Mansor Abdul Rahman serta Jurutera Daerah Sik, Shaiful Azhari Ahmad.
Untuk langkah keselamatan awal kepada pengguna jalan, pihak syarikat konsesi mengambil pendekatan meletakkan kon keselamatan dan papan tanda di kawasan berkenaan, katanya.
“Kita bertindak segera demi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya yang lain memandangkan kawasan ini merupakan cerun gaung yang agak dalam iaitu hampir tujuh meter kedalamannya.
"Kakitangan syarikat konsesi juga hadir untuk menutup runtuhan dengan penutup kanvas bagi mengelak hakisan terus berlaku sebelum kerja-kerja membaik pulih tebing dimulakan esok (hari ini) dan dijangka ia siap dalam tempoh dua minggu," kata Mohd Tajuddin.
Beliau berkata hujan lebat yang berlaku lebih empat jam di kawasan itu menyebabkan aliran air dari atas bukit menuruni jalan raya dan menyebabkan hakisan sehingga tebing runtuh dan jalan berlubang.
“Buat masa ini, orang ramai diminta berhati-hati ketika melalui laluan tersebut sementara projek membaik ulih tebing runtuh siap kerana ia melibatkan laluan berselekoh dan menuruni kawasan berbukit,” katanya.
Ibrahim berkata walaupun tiada kejadian buruk berlaku langkah yang diambil pemimpin setempat harus dipuji kerana bertindak pantas untuk menyelesaikannya sebaik dimaklumkan kejadian itu demi kebaikan semua pihak.
Sumber : Sinar