Kedah berkabung 7 hari, bendera separuh tiang



berkabung

ALOR SETAR 11 September - Kerajaan Kedah mengumumkan Selasa ini sebagai hari kelepasan am susulan kemangkatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit di sini, jam 2.30 petang tadi.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini berjalan seperti biasa.
"Kerajaan negeri juga menetapkan tempoh berkabung tujuh hari bermula hari ini dengan semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan dibatalkan.
"Bendera Kedah di bangunan Persekutuan, negeri dan awam juga hendaklah dikibarkan separuh tiang selama tiga hari mulai hari ini," katanya dalam sidang media khas, sebentar tadi.
Ahmad Bashah berkata, jenazah Almarhum Sultan Kedah akan disemayamkan di Dewan Penghadapan Baharu Istana Anak Bukit untuk solat jenazah dan bagi maksud penghormatan terakhir bermula jam 11 pagi.
"Jenazah Almarhum Sultan Kedah akan diiring ke Makam Diraja Langgar melalui Lebuhraya Darulaman, Jalan Tun Razak, Jalan Langgar dan terus ke kawasan pemakaman," katanya.
Berdasarkan maklumat, istiadat penghormatan terakhir bagi rakyat jelata ditetapkan jam 11 pagi, sebelum disusuli sesi khas untuk kenamaan dan delegasi asing bermula 12.30 tengah hari.