INOVASI TEKNOLOGI TINGKAT PENDAPATAN PETANI



3inovasi
KULIM 3 Ogos - Seramai 2,480 pesawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan disasar memperoleh pulangan pendapatan berganda melalui projek inovasi pemprosesan bahan buangan jerami padi kepada pembungkus biodegradasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman berkata, usahasama dengan Free The Seed Sdn. Bhd. (FTS) itu turut menarik minat pihaknya menyumbang sebuah traktor dan pembandela kepada PPK Pendang Selatan.
“Set jentera tersebut akan diguna pakai oleh PPK Pendang Selatan bagi meningkatkan kecekapan kerja-kerja mengumpul dan memampatkan jerami padi ke dalam bentuk bandela sebelum dibekalkan kepada FTS.
“Melalui projek usahasama ini, sebanyak 7,000 tan jerami padi setahun akan dibekalkan untuk tempoh selama 10 tahun dengan anggaran nilai jualan mencecah RM5.7 juta untuk fasa pertama projek tersebut,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.
Penyampaian sumbangan tersebut disampaikan Mohd. Yusoff kepada Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Pendang Selatan, Abdullah Mohamad dan Pengurus Besarnya, Shaifulanuar Ibrahim sambil disaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah
Turut menyaksikan penyampaian trailer itu Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan dan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob serta Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tan Sri Zainal Dahalan.
Menurut Mohd. Yusoff, pencapaian ini antara yang diperjuangkan MIGHT untuk membangunkan keupayaan teknologi tinggi menerusi kerjasama antara syarikat bertaraf teknologi bio dengan masyarakat tempatan bagi membentuk situasi menang-menang.
“Kerjasama ini dijangka membuahkan hasil yang baik kepada kedua-dua belah pihak kerana FTS mempunyai rekod mengikat kontrak selama tiga tahun dalam eksport 40 kontena pembungkusan buah-buahan biodegradasi ke rangkaian pasar raya di Belanda, Jerman dan United Kingdom.
“MIGHT mengalu-alukan perubahan kepada penggunaan produk hasil inovasi bio yang lebih mesra alam dan bersifat organik atau mudah lupus teknologi ini kerana ia dijangka mempunyai potensi pada masa hadapan,” katanya.
Oleh : Amirul Aiman Anuar
Sumber : Utusan