AKTIVITI PEMBALAKAN, PASIR SENTIASA DIPANTAU




    31aktiviti
    KUALA NERANG 31 Julai - Kerajaan Kedah sentiasa memantau ketat aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik dekat sini bagi memastikan ia dilakukan secara terkawal dan tidak mencemarkan sumber air di situ.
    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan dan Sumber Air serta Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpan itu dilakukan oleh syarikat yang berlesen dan mengikut undang-undang ditetapkan.
    “Kerajaan negeri bagaimanapun akan terus membuat pemantauan dan memastikan aktiviti tersebut dalam keadaan terkawal dan menafikan wujudnya pembalakan haram di situ,” katanya selepas melancarkan Karnival Alam Lestari di Dataran Putra, di sini semalam.
    Menurutnya, pihaknya juga sentiasa memantau kualiti air sungai di kawasan pembalakan berkenaan yang mungkin terjejas pada musim hujan.
    “Kita mengambil serius setiap aduan daripada penduduk berhubung tahap kualiti bekalan air di kawasan mereka dan akan berusaha untuk menyelesaikannya,” katanya.
    Badrol Hisham berkata, kerajaan negeri tidak akan sesekali melangkaui kawasan aktiviti pembalakan yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat.
    “Kita sedar bahawa ekosistem alam sekitar harus kita kekalkan dan pertahankan sebagai usaha mengelakkan berlakunya runtuhan tanah dan pencemaran air sungai sekiranya ia tidak dikawal dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian.
    Beliau pada masa sama memberitahu, pihaknya juga turut membuat pemantauan sama ke atas operasi kuari pasir di negeri itu.
    “Selain pemeriksaan berkala yang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran, pemantauan juga akan dilakukan menggunakan dron.
    “Jika didapati pengusaha kuari melanggar syarat ditetapkan, kita akan mengarahkan mereka menghentikan operasi serta-merta,” ujarnya.
    Sumber : Sinar