LTA BANTAH CUKAI PELANCONGAN




    9bantah
    LANGKAWI 9 Jun - Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) menjangkakan penurunan sehingga 20 peratus bagi penginapan di hotel dalam kalangan pelancong domestik di pulau peranginan ini dengan pelaksanaan cukai pelancongan bermula 1 Julai.
    Ketua Pegawai Eksekutif LTA Zainudin Kadir berkata jangkaan itu berdasarkan hakikat bahawa pelancong perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan penginapan di pulau yang telah melaksanakan promosi yuran pelancongan pada Julai tahun lepas.
    "Saya membantah keras pelaksanaan cukai pelancongan kerana ia tidak sesuai untuk mempromosikan industri itu dalam keadaan ekonomi semasa," katanya kepada Bernama.
    Akta Cukai Pelancongan 2017 akan berkuat kuasa pada 1 Julai selepas rang undang-undang itu diluluskan oleh Parlimen April lepas.
    Di bawah akta itu, tetamu perlu membayar cukai antara RM2.50 hingga RM20 semalam bergantung pada taraf hotel.
    Zainudin berkata, berbeza dengan yuran promosi pelancongan yang perlu dibayar kepada Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), cukai pelancongan yang dikenakan oleh kerajaan Persekutuan tidak dijelaskan secara terperinci oleh pemain industri.
    "MPLBP menjelaskan kepada kami bahawa yuran promosi pelancongan telah digunakan untuk penyelenggaraan kebersihan di pulau peranginan ini. Tetapi, setakat ini tiada penjelasan diberikan berhubung tujuan cukai pelancongan," katanya.
    Beliau berkata hanya kerana negara-negara lain melaksanakan cukai pelancongan, tiada kewajaran untuk Malaysia melaksanakan cukai serupa kerana menurutnya industri pelancongan di negara-negara lain berkembang maju tanpa perlu bergantung pada cukai seumpama itu.
    "Kita tidak perlu melihat lebih jauh tetapi lihat sahaja Thailand atau Vietnam yang industri pelancongan mereka berkembang pesat dan diharapkan, kami tidak akan kehilangan pelancong kepada mereka hanya kerana banyak cukai yang perlu dibayar," katanya.
    Beliau berkata, LTA bercadang menyerahkan memorandum bagi membantah cukai itu, masing-masing kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
    Sumber : Sinar