KES DEMAM DENGGI MASIH TINGGI



16kes
ALOR SETAR 16 Jun - Kes demam denggi di Kedah masih tinggi, iaitu 754 kes bermula Januari hingga 10 Jun tahun ini, berbanding 380 kes bagi tempoh sama tahun 2016.
Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 101.6 peratus.
“Terdapat tiga kes kematian akibat denggi berbanding satu kes bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu dua kes di daerah Kulim dan satu daerah Kuala Muda,” katanya.
Menurutnya, lapan daerah menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu Kuala Muda (287 kes berbanding 138 kes), Kulim (194 berbanding 61), Baling (77 berbanding 72), Kubang Pasu (49 berbanding 17), Sik (40 berbanding lima), Padang Terap (19 berbanding dua), Langkawi (21 berbanding 10) serta Bandar Baharu (13 berbanding sembilan).
Manakala tiga daerah menunjukkan penurunan kes, iaitu Pendang dengan 10 kes berbanding 15 kes, Yan (enam berbanding tujuh) serta Kota Setar menunjukkan bilangan kes sama pada tahun lalu dengan 38 kes.
Dr Norhizan berkata, terdapat lima lokaliti wabak denggi masih aktif, iaitu di Taman Selasih IV, Kulim dengan lima kes; Kampung Charuk Kit, Sik dan Taman Ria Jaya Zon A, Kuala Muda masing-masing tiga kes serta Kampung Changai, Kubang Pasu dan Kampung Banggol 9, Padang Terap masing-masing dua kes.
“Jumlah lokaliti wabak menurun dan semua dalam keadaan terkawal,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 177 kes chikungunya dilaporkan di seluruh Kedah melibatkan enam daerah iaitu, Kuala Muda (100 kes), Baling (72 kes), Pendang (dua kes) dan satu kes masing-masing di daerah Kulim, Sik dan Kubang Pasu.
“Tiada lokaliti wabak aktif di Baling, Kulim, Kubang Pasu dan Sik. Wabak aktif chikungunya hanya berlaku di satu lokaliti di Kuala Muda, iaitu Taman Ria Zon 4 dengan empat kes,” katanya.
Dr Norhizan berkata, pelbagai tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dilakukan, antaranya pemeriksaan pembiakan aedes di 266,263 premis, di mana 5,162 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.
“Manakala 453 notis Seksyen 8 dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan aedes,” katanya.
Menurutnya, semburan membunuh nyamuk aedes dilakukan di 283,491 premis, manakala 52,729 premis diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.
Dr Norhizan turut menasihatkan penjaja dan pengunjung bazar Ramadan supaya menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah juga sentiasa memantau tempat tumpuan awam agar bebas pembiakan aedes seperti kawasan rekreasi, pusat beli belah, pengangkutan awam dan kawasan rehat dan rawat,” katanya.
Menurutnya, PBT juga perlu memastikan tanah kosong dibersihkan sekiranya terdapat pembuangan sampah haram dengan penguatkuasaan tegas terhadap pihak terlibat.
“Orang ramai hendaklah bersihkan kawasan persekitaran rumah apabila kembali ke kediaman masing-masing selepas cuti sekolah berakhir.
“Pergerakan manusia dari satu tempat ke tempat lain antara punca kes menular dengan cepat,” katanya.
Sumber : Sinar