KERAJAAN KEDAH UMUM BONUS MINGGU DEPAN

7bonus
ALOR SETAR 7 Jun - Kerajaan negeri memberi jaminan akan memberikan bantuan khas kewangan tidak kurang RM500 kepada penjawat awam negeri ini sebagai persiapan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, jumlah bantuan khas tersebut yang akan diberikan itu bagaimanapun hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Exco pada minggu depan.
"Pastinya ada khabar gembira (pemberian bantuan khas) untuk penjawat awam di negeri ini. Kita bincang dalam mesyuarat (Exco) hari ini tapi akan putuskan jumlahnya pada minggu depan.
"Kalau Kerajaan Persekutuaan umum bonus RM500 untuk penjawat awam dan RM250 untuk pesara, kita juga tidak akan kurang dari jumlah tersebut... mungkin lebih tapi kena bincang lanjut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak bazar Ramadan di Stadium Darul Aman di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah memberitahu, pihaknya telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)  memantau tapak-tapak bazar Ramadan di seluruh negeri.
"Saya telah minta PBT dan Jabatan Kesihatan untuk pantau kebersihan di tapak bazar Ramadan bagi mengelakkan makanan yang dijual tercemar dan pada masa sama, KPDNKK juga akan pantau harga.
"Dalam tinjauan hari ini, saya berpuasa hati dengan harga makanan yamg dijual... harganya berpatutan," ujarnya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan