BDB AKHIRI JELAJAH DI JITRA



14bdb
KUBANG PASU 14 Jun - Syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB) meneruskan inisiatif projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyampaikan sumbangan Ramadan berjumlah RM20,000 kepada kira-kira 100 asnaf dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.
Pengarah Urusannya, Datuk Izham Yusoff berkata, setiap penerima dari DUN Kuala Nerang, Bakar Bata, Sungai Tiang dan Jitra yang terpilih menerima sumbangan sebanyak RM200 setiap seorang.
"Pada majlis ini, anak syarikat Kumpulan BDB iaitu Kedah Holdings Sdn. Bhd. memperuntukkan RM20,000 untuk diagihkan kepada 100 penerima.
"Walaupun jumlah sumbangan ini tidak besar namun kita mengharapkan dapat meringankan beban golongan asnaf dan orang kurang berkemampuan untuk menjalani ibadah puasa," katanya ketika berucap dalam Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan DUN Jitra di Masjid Sharifah Fatimah di sini hari ini.
Menurut Izham, penganjuran majlis iftar dan sumbangan Ramadan itu merupakan program tahunan yang dirangka bagi membolehkan hubungan antara BDB dan masyarakat setempat dapat dieratkan lagi.
"Sebagai anak syarikat kerajaan negeri, BDB sememangnya sudah lama menjalankan program dan aktiviti kemasyarakatan dan DUN Jitra bukanlah asing buat kita.
"DUN Jitra merupakan destinasi terakhir selepas menganjurkan program sama di DUN Bakar Bata, Kuala Nerang dan Sungai Tiang.
"Untuk tujuan tersebut, BDB memperuntukkan sebanyak RM120,000 pada tahun ini untuk membantu kira-kira 600 asnaf," ujarnya.
Sumber : Utusan