PERMOHONAN GURU DUKA LARA DILULUSKAN



23mohon
PADANG TERAP 28 Mei – Kementerian Pendidikan meluluskan sebanyak 2,825 permohonan pindah termasuk 80 peratus atau 2,261 pertukaran yang membabitkan kes guru yang tinggal berjauhan dengan pasangan masing-masing atau dikenali sebagai duka lara pada sesi Jun ini.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya menjangkakan lebih banyak permohonan pertukaran yang diluluskan terutama melibatkan kes duka lara berikutan terdapat dua lagi sesi pertukaran iaitu pada Oktober ini dan Januari tahun depan.
“Pada tahun ini, kita menerima 20,470 permohonan dengan pelbagai alasan yang diterima dalam permohonan pertukaran guru yang dibuka Januari lalu. Permohonan paling tinggi yang diterima adalah guru duka lara iaitu sebanyak 6,635 permohonan.
“Turut menjadi alasan ialah tempoh berkhidmat (4,126 permohonan), permohonan bersama (3,655 permohonan), sakit kronik (674 permohonan), ancaman keselamatan (139 permohonan) dan selebihnya pelbagai alasan lain," katanya di sini hari ini.
Menurut Mahdzir, hanya 2,825 atau 13.8 peratus permohonan yang diluluskan pada sesi Jun ini kerana tidak mahu menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran terutama bagi mereka yang mengajar di kelas-kelas peperiksaan awam.
Dalam pada itu, Mahdzir memberitahu, pihaknya telah menetapkan semua urusan pertukaran dan penempatan guru akan dilaksanakan secara berpusat mulai Januari 2018.
“Semua urusan pertukaran dan penempatan guru antara negeri hanya akan dilaksanakan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian manakala urusan pertukaran dan penempatan guru di semua jenis sekolah dalam sesebuah negeri akan dibuat oleh Pengarah Pendidikan negeri masing-masing,” katanya.
Sumber : Utusan