PENDAPATAN PENIAGAAN PETANI MADA MENINGKAT

14pendapatan
ALOR SETAR 14 Mei - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Pertanian Muda (MADA) berjaya meraih pendapatan sebanyak RM130.2 juta pada tahun lepas berbanding RM127.9 juta tahun sebelumnya.
Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata, pendapatan bagi keseluruhan 27 PPK itu meningkat sebanyak RM2.2 juta dengan keuntungan melebihi RM8 juta.
Katanya, peningkatan itu menjelaskan MADA serius dalam peranannya untuk memartabatkan peladang dalam penyaluran bantuan kerajaan, peniagaan PPK dan pusat kegiatan ekonomi.
"Ini adalah hasrat MADA selain daripada petani dapat menguruskan pertanian mereka juga melibatkan diri dalam bidang perniagaan.
"Pulangan dan keuntungan perniagaan itu dapat dipulangkan kepada ahli PPK melalui dividen," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Merasmikan Mesyuarat Agung PPK MADA 2017 di sini hari ini.
Mesyuarat agung itu merupakan medan untuk setiap PPK melakukan penilaian terhadap prestasi PPK masing-masing dalam usaha memperkukuhkannya.
Dalam majlis itu beliau turut menyampaikan anugerah dan pengiktirafan kepada PPK mengikut beberapa kategori termasuk PPK Jaya, PPK Pengurusan Estet Padi Terbaik dan Unit Peladang Jaya.
Mengulas lanjut kata Othman, selain perniagaan berasaskan pertanian MADA turut menggalakkan ahlinya menceburi bidang hartanah.
"MADA sedia membantu untuk memberikan tunjuk ajar dan bimbingan, " katanya.
Sumber : Utusan