SASAR 20,000 KUNJUNGI KARNIVAL



1sasar
ALOR SETAR 1 April – Karnival Pendidikan Mara-Utusan yang berlangsung dua hari bermula hari ini dijangka menarik perhatian lebih 20,000 pe­ngunjung ke Menara Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) di sini.
Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kedah, Fuziah Ahmad berkata, penganjuran karnival tersebut tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penduduk negeri ini terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Tahun lepas sebanyak 15,000 mengunjungi karnival ini. Pada tahun ini sebanyak 65 gerai digunakan oleh 53 institusi pengajian tinggi serta Institusi Pendidikan Mara menyertai karnival ini.
“Karnival ini untuk memberi pendedahan kepada lepasan pelajar sekolah tentang peluang yang disediakan oleh institusi pengajian tinggi itu,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian karnival tersebut di Dewan MBAS, di sini hari ini.
Majlis perasmian karnival tersebut yang dijayakan dengan kerjasama akhbar Utusan Malaysia terbitan Kumpulan Utusan itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Mengulas lanjut, kata Fauziah, Mara berharap penganjuran karnival tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai untuk mendapat pelbagai maklumat berkaitan.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, Karnival Pendidikan Mara-Utusan merupakan satu usaha murni Majlis Amanah Rakyat (Mara) secara berterusan untuk menyalurkan maklumat berkenaan peluang-peluang pendidikan dan perancangan kerjaya masa depan kepada pelajar-pelajar lepasan sekolah.
“Peluang ini perlu direbut oleh semua kumpulan sasar untuk membuat pilihan terbaik demi masa depan lebih cemerlang,” katanya.
Karnival itu berlangsung di seluruh negara sejak 25 Februari hingga 9 April ini dengan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.
Oleh : Utusan